nurila8991.blogspot.com

Thursday 3 November 2011

NASIHAT IMAM GHAZALI

MENJAUHI MAKSIAT ZAHIR


IMAM GHAZALI rahimahullah berkata bahawasanya agama itu terbahagi kepada dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh.

Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itulah Nabi SAW bersabda, “ Orang yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya.”

Individu yang berbuat maksiat adalah mereka yang mengkhianati Allah dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana anggota tubuh badan adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya.

Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan maksiat, ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah.

Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana Jahannam itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.

Mata yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis remaja dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan yang menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.

Telinga yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar segala perkataan bid’ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga mendengar perkataan yang batil dan sia-sia.

Lidah diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia digunakan mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diseleweng dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda, mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor. Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat munafik.” Tetapi dalam keadaan tertentu kita harus berdusta, misalnya untuk mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri yang bergaduh, yang mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali dengan berdusta. Begitu juga dengan mengumpat. Ia dibenarkan jika membawa maslahah ( kebaikan ) yang meliputi pada enam keadaan :-

1. Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau mendedahkan kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.

2. Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat tersebut.

3. Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hak dan keadilan.

4. Mendedahkan kefasikan dan kezaliman seseorang kepada orang yang belum mengetahuinya bagi mengelakkan mereka bersahabat dengan si fasiq atau si zalim itu.

5. Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali melainkan dengan menyebut keaiban yang ada pada dirinya.

6. Menyebut akan sifat keji orang yang masyhur dengan kezaliman, kefasikan atau kejahatannya.

Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari mengumpat walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “ Jangan mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain. Adakah sebahagian kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu benci.”

Perut pula hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah ( tidak jelas antara yang halal dan haram ). Ini kerana makanan yang kita makan akan menjadi darah daging. Rasulullah SAW bersabda, “ Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka neraka adalah lebih utama untuknya.”

Rasulullah SAW turut bersabda lagi, “ Ibadat dan ilmu yang disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas himpunan najis.”

Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga kemaluan dari segala yang diharamkan ke atasnya oleh Allah. Hendaklah ia dipelihara sebagai mana firman Allah, “ Dan mereka yang memelihara akan kemaluan mereka melainkan ke atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya mereka, meka sesungguhnya mereka tiada dicela.”

Tangan turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram.

Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu hendaklah dikawal dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang keadaan darurat yang mendesak.

Begitulah nasihat Imam Ghazali didalam kitabnya yang agung, ‘ Bidayatul Hidayah .’ Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ya-Siin, “ Pada hari Kami kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.”, wallahu a’lam.

ciNta y diReDhai Allah kEkaL aBaDi...~~

NILAI CINTA MENURUT AL-QURAN

Adakalanya orang mengerutkan dahinya ketika mendengar kata “cinta” dalam Al-Quran… Kadangkala ia memalingkan mukanya, berhauqalah (mengucapkan “Laa haulawala quwwataillaa billaah”) dan meminta perlindungan dari tema ini dan dari orangnya.

Mereka ini sedikit sekali jumlahnya, malahan jarang ada.

Hakikat cinta sebenarnya adalah kehidupan spiritual. Cinta berasal dari Allah dan untuk Allah. Cinta kepada selain-Nya hanyalah dimensi cinta kepada-Nya. Kekeliruan dalam memahami masalah cinta akan membuat keyakinan seseorang menjadi tempang, kerana ia akan mencampuradukkan antara cinta mutlak dan cinta nisbi.

Orang yang diberi pengertian dan pemahaman yang mendalam tentang nas-nas Islam samada Al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi s.a.w. maka tahulah ia secara meyakinkan bahawa Islam adalah agama CINTA dan seorang mukmin tidak akan merasa manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya, “Tiga perkakara yang apabila terdapat pada diri seseorang maka ia akan mendapatkan manisnya iman, iaitu: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada yang lain; mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Seorang Arab dusun datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu ia bertanya, “Bilakah datangnya hari qiamat?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?” Ia menjawab, “Aku tidak bersiap-siap menghadapinya dengan banyak solat, puasa dan sedekah, hanya aku menyintai Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Orang itu akan bersama orang yang dicintainya.”

Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersih. Dia mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan, orang-orang yang sabar, dan orang-orang yang taqwa. Dan Dia memberikan cinta-Nya kepada orang yang dicintai-Nya. Dia pernah berfirman kepada Nabi Musa a.s. yang bermaksud: “Dan Aku telah limpahkan kepadamu kasih sayang yang telah datang dari-Ku.”

Orang-orang mukmin juga punya rasa cinta… dan kecintaan mereka yang paling kuat ialah kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman lebih besar cinta-Nya kepada Allah.” (Al-Baqarah ; 165)

Pemahaman masyarakat moden bahawa cinta adalah kebebasan tanpa batas dan ikatan serta pelepasan nafsu haiwaniyah telah menjerumuskan mereka ke dalam kehidupan yang penuh kegoncangan, individualistic, ketidaktenangan, dan beban yang semakin berat dan membelenggu.

Mereka perlu dilepaskan dan tiada yang dapat melepaskan serta membebaskan mereka dari semua itu kecuali dengan cinta, iaitu kebenaran ; cinta cahaya dan penerangan ; cinta keselamatan dan kedamaian. Allah-lah zat yang Maha Besar, Dia-lah pemberi cahaya, dan Dia pula pemberi keselamatan, kesejahteraan, dan kedamaian. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Cintailah Allah, karana Dia-lah yang memberikan nikmat-Nya kepadamu.”

“Tapi
Ketika kuhalakan mataku ke langit tinggi
Kulihat cahaya-Mu terang suci
Lalu aku berkata Ya Rabbi,
Kepada-Mu aku berlindung diri
Kepada-Mu kuadukan beban hidupku
Dan kelemahanku yang penuh duka
Siapakah yang dapat melepaskan ikatan
Dari saluran lubang air mataku
Selain-Mu-kah ya Rahman…
Engkaukah ya Rahiim…?

Siapakah selain Engkau yang telapaknya penuh rahmat dan chayanya yang lembut dapat membalut luka?
Siapakah selain Engkau,
Yang mendengar seruan jika aku mengadu?

Tak ada dinding antara kita
Tak ada pintu tak ada tangga
Lalu Ia datang dari belakangku
Dan berkata “Tenanglah,
Sesungguhnya Aku dekat,
Ketika engkau berdoa kepada-Ku…
Aku dekat
Di telapak-Ku ada keselamatan
Keamanan dan keredhaan”

Tenteramlah hatiku
Aku mendengar… aku mendengar
Kurasakan telapak-Nya yang penuh kasih
Hilang sakitku dalam dakapan sayang-Nya
Nafas-Nya semerbak di sekelilingku
Membelai duka menghapus luka
Bayang-bayang-Nya basah
Syurga Na’im
Terbukalah hati, menitislah air mataku
Memancar… memancar dan mengalir
Menghapus duka menebar rela

Ketika kupejamkan mataku untuk menggapai-Mu yang jauh
Kudapati cahaya-Mu basah bagai embun
Melalui organku menyentuh perasaanku
Dengan kasih sayang menyiram daku
Dan aku berkata :
“Alangkah manisnya kasih sayang
Alangkah indahnya salam pembangkit kerinduan.”

Munajat Milk Abdul Aziz kepada Tuhannya.
Dipetik dari kumpulan sajaknya yang berjudul “Aghaanii Ash-Shibaa” (Nyanyian Anak-anak).

maRiLaH BaCA seKeJaP...

KASIHNYA RASULLLAH KEPADA ORANG BUKAN ISLAM

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda :
“Barangsiapa menyakiti hati orang bukan Islam (yang duduk di bawah pemerintahan Islam) maka dia menyakiti hatiku dan dia tidak akan masuk syurga.”
          Berdasarkan riwayat hidup Rasulullah s.a.w., baginda pernah dimaki, dicaci dan dihina oleh seorang wanita tua yang kebetulan rumahnya terletak di jalan yang Rasulullah gunakan untuk ke masjid. Walaupun Nabi dihina dengan kata-kata yang kesat, namun baginda tetap bersabar dan selalu menegur orang tua itu. Satu hari, apabila Nabi hendak ke masjid, Nabi berasa hairan kerana orang tua itu tidak muncul-muncul di hadapan rumahnya untuk memarahi baginda. Keadaan rumah orang tua itupun agak sunyi seperti tiada orang di dalamnya. Lantas baginda pergi menyiasat ke dalamnya dan mendapati orang tua itu terlantar sakit tua. Baginda pun berasa  kasihan dan sayu melihat keadaannya lalu baginda menyediakan makan minum, mengambil air di telaga dan mengemas rumah dan menyapu halaman rumah orang tua itu sepertimana yang dilakukan oleh perempuan itu setiap hari. Melihat kepada perlakuan Rasulullah itu, hati perempuan tua yang keras itu menjadi lembut dan akhirnya dia dengan rela hati memeluk agama Islam.

Kasih sayang adalah “perasaan halus dan belas kasihan di dalam hati yang membawa kepada berbuat amalan utama, memberi maaf dan berlaku baik.”

Kasih sayang harus diberikan kepada semua makhluk baik manusia mahupun binatang sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : “Sayangilah orang-orang yang ada di bumi, supaya engkau disayang oleh orang yang dilangit (para malaikat) – H.R. Thabrani

Kasih sayang itu sifat dan perbuatan yang menambah kesempurnaan watak yang membuat seseorang merasa hiba bila melihat penderitaan melanda kehidupan mahkluk, sehingga membangkitkan rasa ingin turut berusaha membantu, samada untuk meringankan beban si penderita mahupun sampai ke batas kesempurnaannya. Jika penderitaan yang dilihat itu, dalam bentuk kesesatan iktikad iapun turut berasa sedih dan berusaha untuk menolong, paling tidak dalam bentuk doa memohon kepada Allah, agar mereka diberi petunjuk- Nya, dan dihindarkan dari kesesatannya.

Rahmat yang tinggi dan luas adalah sifat Tuhan, kerana rahmat-Nya meliputi alam semesta. Oleh itu doa para malaikat kepada Allah, ialah seperti tercantum dalam ayat ini:
Ya Tuhan kami, sungguh rahmat dan ilmu Engkau luas meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-jalan Engkau, dan peliharalah mereka daripada seksaan neraka yang menyala-nyala. (Al-Mukminin ; 7)

Akhlak Islam membuat seseorang selalu berseri-seri wajahnya ketika menemui orang lain, kerana menurut ajaran Islam wajah yang berseri-seri yang menampakkan kasih sayang kepada orang lain merupakan sedekah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud , “Dan senyumanmu untuk saudaramu adalah sedekah.”
Ketahuilah bahawa senyuman yang ikhlas, akan mampu menyentuh perasaan hati seseorang, sebaliknya harta yang diberikan belum tentu dapat melembutkan hati orang lain. Oleh  itu Rasulullah s.a.w. memberikan bimbingan dan memerintahkan kepada kita, agar dalam setiap pergaulan kita harus selalu menampakkan senyuman dengan wajah yang bersih dan berseri-seri.